SELAMAT DATANG KE DAPUR UMMI

SELAMAT DATANG KE DAPUR UMMI ...

Saturday, September 10, 2011

KEK GULUNG DAM

"Pertama kali berhari raya di bumi Limbang, Sarawak, pada tahun 1999. Ketika itu, saya baru sahaja dua minggu menjadi warga Limbang dan menyewa di RPR Batu Biah. Pengalaman berhari raya di rantau orang memang tidak dapat dilupakan. Bersama suami tercinta, pada malam hari raya kami meronda seluruh bandar dan perkampungan di sekitar bandar untuk menyaksikan kemeriahan malam raya di samping melupakan kesedihan yang menggigit tangkai hati ... Memang meriah rupanya, seronok sangat menyaksikan keindahan rumah2 yang dihiasi lampu cucul (siap ada pertandingan bercucul lagi) 'cucul' tu pelita kot! Ada yang membuat replika kapal terbang yang dihiasai cucul yang memang cantikkkk sangat! Ketika siangnya, berhari raya ke rumah jiran dan kenalan, sekali lagi saya berasa amat teruja apabila melihat kek lapisnya yang beraneka rupa, sehingga ada yang mampu membuat Jalur Gemilang dalam kek gulungnya ... Tatkala itulah saya bertekad dalam hati, perjalanan saya di Limbang ini amatlah sia-sia jika saya tidak menguasai kemahiran 'seni' yang istimewa ini ...
                                                                                                                              -Catatan Anak Rantau

Jamu gambar dulu ...
 Ni la rupanya kek gulung dam ... Ni pun kira belum mahir sangat ni hehe ...

Bahan inti (dam):
-250g butter, 5 sudu makan susu pekat manis, 120g gula kastor
*Satukan bahan di atas, putar sampai kembang
-5 biji telur
*Masukkan telur sebiji demi sebiji - putar lagi
-150g tepung hong kong
-5 sudu makan horlicks
*Masukkan dalam adunan di atas dan putar sehingga sebati
-Masukkan 1 sudu makan ovallette
-Masukkan 100g jem buah2an (saya suka jem strawberi)
-Sebatikan adunan, bahagikan dua bahagian, warnakan merah dan hijau

Cara membakar:
-Panaskan ketuhar (gunakan api atas sahaja - suhu 175)
-Griskan loyang, alas kertas serap minyak (gunakan 2 loyang sama saiz)
-Sendukkan 4 sudu adunan dan ratakan dalam loyang
-Bakar sehingga bahagian atas kek berwarna keperangan 
(Jika ada gelembung ketika proses membakar, cucuk gelembung tersebut)
-Keluarkan loyang, kemudian cucuk permukaan kek dengan garfu perlahan-lahan
macam ni ...
-Selepas proses mencucuk. tekan permukaan kek perlahan-lahan
menggunakan alat penekan, macam ni ...
-Ulangi langkah di atas sehingga semua adunan habis. 
-Pastikan satu loyang untuk satu warna sahaja.
-Setelah siap proses membakar, sejukkan kek, keluarkan dari loyang.
-Potong kek secara memanjang dengan ukuran 3/4 inci.
-Sapu jem/kaya pada bahagian yang dipotong, kemudian lekatkan dengan
potongan yang lain sehingga menjadi seperti corak dam.
Macam ni la rupanya. Biasanya bahagian inti saya buat sehari lebih awal, simpan 
dalam peti sejuk supaya 'dam' betul2 melekat.


Bahan kek gulung:
-6 biji telur
-120g gula kastor
(putar sehingga kembang)
-Masukkan 140g tepung gandum yg sudah diayak
-Masukkan 2 sudu makan susu tepung
-Putar semuanya sehingga sebati
-Masukkan satu sudu makan ovallette
-Masukkan 120ml minyak jagung
-Masukkan esen vanila
-Putar lagi semuanya sehingga sekata


Ambil dua tiga sudu adunan kek, kemudian warnakan dengan warna yang disukai


-Panaskan ketuhar, griskan loyang, alas kertas serap minyak
-Senduk 4 sudu adunan asal dan ratakan dalam loyang
-Ambil sedikit adunan yang telah diwarnakan, kemudian tompokkan di atas
adunan asal mengikut kreativiti sendiri
-Bakar sehingga keperangan (10 - 15 minit)


-Setelah masak, terbalikkan kek dan sejukkan sebentar.
-Apabila kek sejuk, sapukan jem, letak bahagian inti, kemudian gulung kek
-Inilah hasilnya ...
*sebaik-baiknya proses menggulung dilakukan ketika kek masih suam-suam kuku ...

No comments:

Post a Comment