SELAMAT DATANG KE DAPUR UMMI

SELAMAT DATANG KE DAPUR UMMI ...

Saturday, March 26, 2011

TALAM PISANG @ BATIL PISANG BERKEPALA

Menu; sarapan pagi / minum petang
Jenis: Kuih tradisional
Masa penyediaan: 20 minit
Masa makan: 5 minit je dah habis
hahahaha ...

 Baru angkat dari kukusan, sejukkan dulu baru boleh dipotong.
 Tadaaa ... dah siap dipotong ...

Resepinya;
(Bahagian bawah)
-8 biji pisang lemak manis  - dilecek
(kalau guna pisang lain, anggaran satu cawan pisang)
-1/2 cawan gula
-1 1/2 cawan tepung gandum
-2 sudu makan tepung ubi
(Satukan adunan, kukus lebih kurang 10 minit)
(Bahagian atas)
-1 cawan tepung beras
-3 1/2 cawan santan
(Satukan adunan, masak atas api perlahan sehingga hampir pekat)
Tuang adunan ke atas lapisan pisang,
kukus lagi lebih kurang 10 minit)

Tradisi lama dilupa jangan.

PUTU AYU

Putu ayu, lembut dan gebu.

Resepinya;
-2 cawan tepung gandum
-1 sudu kecil baking powder
-1 sudu kecil ovellette
-1 cawan santan
-3 biji telur
-sedikit pes pandan
-kelapa + 1 sudu besar tepung ubi + sedikit garam
(gaul sebati adunan kelapa, tpg ubi dan garam)
Cara-caranya;
-Pukul telur dengan gula sampai kembang
-Masukkan tepung, baking powder, sebatikan adunan
-Masukkan ovallette, santan, pukul lagi sampai sebati
-Masukkan pes pandan dan sedikit pewarna hijau

Sapukan sedikit minyak pada acuan,
masukkan adunan kelapa, padat-padatkan,
tuang adunan kuih ke dalam acuan
kukus lebih kurang 15 minit
setelah masak, keluarkan dari acuan
sedia dihidang.

 

Tuesday, March 22, 2011

HOMEMADE CHOCOLATE

Sekarang ni musim orang buat coklat. Dah lama dapat resepi, dah lama perap resepi, baru tahun ni tergerak hati nak buat, lebih2 lagi sejak ada kedai barang2 kek baru bukak berdekatan dengan rumah. Semua benda ada dijual, so layan la. Anak2 bukan main suka lagi, bila buat mesti berebut-rebut nak bawakkan untuk kawan-kawan di sekolah. Biarlah, asalkan anak2 rasa gembira, tambahan pula kat rumah ni saya memang tak minat coklat, rasa kembang tekak. Walau bagaimanapun, makan coklat ni banyak kebaikannya, antaranya boleh mengatasi masalah jerawat dan parut ... hehe
 Antara koleksi mould coklat yang saya ada, hehe asal nampak yg baru je saya mesti beli ...
 Antara koleksi coklat yang pernah dihasilkan, ada lolichoc, coklat oreo, coklat deko, dan pure coklat
Jom tengok resepinya lak ...
Resepi asas coklat;
-1 kg coklat compound (campurkan 1/2kg dark + 1/2kg milk)
-100g cocobutter (kalau tak ada guna shortening pun boleh)

Cara-caranya
-Cairkan coklat mengikut kaedah double boiler
-Apabila coklat mula cair, masukkan cocobutter, kacau sebati
-Tuang coklat dalam mould yang disukai
-Boleh campurkan filling yang disukai (bubble rice, cornflake, walnut,
badam, gajus, mentega kacang, dll)
-Sejukkan dalam fridge selama 20 minit
-Keluarkan coklat dengan cara menelangkupkan mould, 
coklat akan jatuh dengan sendirinya.

Yang ni pulak gambar buku masakan coklat, baru beli, harganya RM25.00
 

AYAM BAKAR LADA HITAM

Terkenang air tangan bonda ... yang telah kembali ke alam yang kekal abadi, sepuluh tahun telah berlalu. Hanya seorang sahaja anak saya yang sempat bertemu arwah atuknya, iaitu anak sulung saya, yang semasa bayinya dijaga dengan penuh kasih sayang oleh  arwah. Proses berpantang selama 44 hari dijaga dengan rapi oleh arwah emak. Syukurlah, walaupun umur arwah tidak panjang, sekurang-kurangnya saya sempat berpantang dengannya. Paling tidak dilupakan ialah masakannya, walaupun dengan menu utk berpantang, sedapnyaaa hingga menjilat jari. Jom cuba resepi mudah ni ...
 Resepinya;
-1/2 ekor ayam (potong dua)
-Dua sudu lada hitam (ditumbuk atau dikisar)
-5 ulas bawang putih (ditumbuk)
-2 inci halia (ditumbuk)
-4 sudu besar gula
-garam secukup rasa

Cara-caranya:
-Gaul semua bahan dengan ayam, perap lebih kurang satu jam
(perap lebih lama lebih sedap)
-Masukkan dalam periuk / kuali non stick
-Tutup periuk, masak dengan api perlahan sehingga ayam betul-betul masak
dan kelihatan garing

sedia untuk dimakan dengan nasi panas

Friday, March 11, 2011

ROTI JALA

Ni salah satu menu sarapan kegemaran keluarga saya. Senang je membuatnya, jom cuba ...
 Roti jala wt kari ayam ...yummy ...
 Resepi roti jala;
-3 cawan tepung gandum
-1 biji telur
-4 1/2 cawan air
-secubit garam
-pewarna kuning secukupnya
(gaul semua bahan, biasanya saya blend je supaya sebati
dan tak berketul-ketul) 
(Kalau agak pekat, tambah sedikit air lagi)
-Sediakan kuali non-stick, masukkan adunan dalam acuan roti jala
-Kirai adunan dalam kuali
-Apabila masak, lipat dan gulung menjadi bentuk seperti di atas

Makan bersama kari ayam
(resepi kari ayam tak payah la ye, sonang yo membuekyo, hehe)
Haa ... yang ni dah siap masuk dalam tupperware, tapau nak
bawak g skolah jamu kawan-kawan ...

KARIPAP PUSING

Layan karipap pusing untuk minum petang memang menyelerakan. Tapi kalau 
penyakit M tu datang, wat karipap biasa je pun ok. Time rajin sikit, barulah buat
yang pusing-pusing ni. Bukan apa, leceh sikit nak membuatnya. Apa-apahal pun, jom belajar buat ...
Bahan-bahannya;
A)Doh air
-2 cawan tepung gandum
-1/2 cawan santan
-1 sudu makan susu pekat 
-1 sudu kecil gula
-Sedikit air kapur
-Air secukupnya
(uli semua bahan sehingga menjadi doh)
(Bahagikan doh kepada dua bahagian)
B)Doh minyak
-1 cawan tepung gandun
-1/2 cawan planta
-Sedikit air
(uli sehingga menjadi doh, jika lembik tambahkan lagi sedikit tepung gandum)
(Bahagikan doh kepada dua bahagian)

Jom tengok cara membuat pusing-pusing ...
Langkah 1:  Masukkan doh minyak ke dalam doh air
 Langkah 2: Canai doh sampai jadi camni, lebih kurang setebal 3mm
 Langkah 3; Doh yang telah dicanai, lipat dua, buat macam lipatan buku, canai lagi
sehingga setebal 2mm
Langkah 4; Gulung doh yang sudah dicanai nipis, gulung camni
 Langkah 5; Potong doh yg dah digulung menjadi kecil macam ni
Langkah 6; Canai doh yang dipotong kecil bulat-bulat
Langkah 7; Masukkan inti karipap, kemaskan dengan 'mengelim'
bahagian tepi karipap
Langkah 8; Goreng la, lepas tu bole 'ngap' terus ...
Selamat Mencuba!

 

SAMBAL GORENG TEMPE

Ini menu feveret en.asben. Kalau masak yg ni, tak payah lauk lain pun tak ape.
Jom layan resepinya ...
 Bahan-bahannya;
-2 peket tempe (dipotong nipis dan digoreng garing)
-3 biji kentang (potong nipis dan digoreng garing)
-1/2 cawan kacang tanah (digoreng)
-Ikan bilis secukupnya (digoreng garing)
-Sayur fucuk (potong dan goreng sampai kembang)
-1/2 peket kecil suun (digoreng kembang)
-Bawang merah dan putih untuk menumis
-Cili kisar (anggaran 2 senduk)
-Gula secukup manis
-Garam secukup rasa
-3 sudu kicap manis
-1 senduk santan pekat
-Minyak untuk menumis (banyak sedikit daripada biasa)
Cara2nya;
-Panaskan minyak, tumis bwg merah dan bwg putih
-Masukkan cili kisar, masak sehingga timbul minyak
-Masukkan santan, kicap, gula dan garam
-Kacau sentiasa, dan apabila mula berbuih-buih,
masukkan semua bahan gorengan di atas
-Sebatikan semua bahan gorengan dengan sambal, tutup api supaya
kerangupannya terjamin.
Sedia dihidang, tak susah pun membuatnya!

Thursday, March 10, 2011

BLUEBERRY CHEESE-TART

Kali ni saya memaparkan blueberry cheesetart. Sedapnya dimakan kala petang hari, sambil menonton tv. Sayangnya, anak-anak saya semuanya tak suka tart ni ...
jadinya saya ni macam syok sendiri je la bila wat tart ni.
Jom, tengok ...
 Resepinya;
Tart:
-125g butter
-60g gula aising
-1 biji telur
-240g tepung gandum
Cara2nya;
-Putar butter dengan gula aising sampai kembang
-Masukkan telur - putar sampai sebati
-Masukkan tepung, uli hingga menjadi doh
(Jika terlalu lembik, tambahkan sedikit lagi tepung)
 Ni la gambar doh tart yg dah siap.
Lepas ni masukkan adunan doh dalam acuan tart.
Ni gambar acuan tart dengan paper cupnya.
Haa, macam ni rupanya bila adunan doh dah siap dimasukkan dalam acuan.
Bakar dengan suhu 180 selama 15 - 20 minit.
Apabila kulit tart dah masak, sejukkan dulu, kemudian keluarkan daripada acuan, 
masukkan dalam papercup.

Filling:
-250g cream cheese Philadelphia
-50g gula aising
-20g butter
-1/2 sudu besar perahan lemon
-1 biji telur
-blueberry pie filling
Cara2nya:
-Putar cream cheese, butter dan gula aising sampai kembang
-Masukkan telur dan perahan lemon putar sampai sebati
-Masukkan dalam piping bag, pipe kan filling ke dalam kulit tart
-Hias dengan blueberry pie filling
(Bakar lagi dengan suhu 175 selama 10 minit atau sehingga filling
nampak kering sedikit)
Ha ha ... yg ni sebenarnya ter'hangus' sikit, wakaka ... tapi saya suka yg hangus ni,
sebab rasanya rangup betul ...
Jom layan tekak!
 

Saturday, March 5, 2011

JEMPUT-JEMPUT LABU

Sebiji labu, kalau dibuat masak lemak tak habis sebiji tu. Yang selebihnya boleh buat pengat labu,
kalau rajin lagi buat la lepat labu, sedapnya ... tapi dek kerana malas dan nak cepat,
buat jemput-jemput labu pun ok juga ...
Jom ...
Bahan-bahannya:
-2 cawan tepung gandum
-1/2 cawan gula
-1 sudu teh baking powder
-1 cawan labu (siap diparut)
-Secubit garam

Gaul semua bahan di atas hingga sebati
Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan 
menjadi lembut dan lembik
Goreng dalam minyak panas



Friday, March 4, 2011

JAPANESE CHEESE CAKE

Sesekali layan kek pulak ... kali ni cheese kek. Rasanya kurang manis, tapi padan dengan filling blueberry yang disalut atas kek, jom tengok gambar dulu...
 Bahan-bahannya:
(A)- 5 keping cheddar cheese
-200ml susu segar / susu cair / susu tepung (dibancuh dengan air)
-70g butter
 
B) -4 biji telur gred A
-90g gula kastor
-70g tepung kek

Cara-cara membuatnya:
-Koyak-koyakkan cheddar cheese
-Masukkan susu
-Masak atas api perlahan, kacau sentiasa sehingga cheese cair
-Apabila cheese sudah cair, masukkan butter
-Tutup api dan sejukkan adunan

-Asingkan telur putih dengan telur kuning
-Pukul putih telur dengan gula sampai kembang (meringue)
-Pukul kuning telur sampai kembang
-Masukkan adunan cheese ke dalam adunan kuning telur
-Masukkan tepung sedikit demi sedikit
-Masukkan adunan meringue, gaul dengan senduk sehingga sebati

-Panaskan oven
-Griskan loyang, lapik kertas serap minyak
-Tuang adunan kek ke dalam loyang

Cara membakarnya:
-Setkan oven dengan suhu 170 api atas bawah
-Ambil loyang yang saiznya lebih besar daripada loyang kek
-Isi loyang dengan air, kemudian letakkan loyang kek di dalamnya
-Cara ini dipanggil 'double-boil'
-Masukkan dalam oven, bakar selama 20 minit
-Selepas 20 minit, setkan suhu menjadi 140 dengan api bawah sahaja
-Bakar lagi selama 40 minit 
-Apabila kek sudah masak, rehatkan seketika, kemudian bolehlah disapu 
topping blueberry ...
yummy ...
 

PANCAKE AKA LEMPENG

Dulu masa kecik-kecik kita panggil lempeng. Tapi sekarang nak ikut orang panggil pankek la pulak. Apa-apapun namanya, rasanya tetap sama. Wat sarapan pagi pun sedap, minum petang pun sedap. Biasanya kita makan dengan madu, tak pun saya suka sangat makan dengan susu, atau makan dengan jem nenas pen sedappp ... mabelessss ... jom buat pankek ...
 Resepinya:
-115g tepung gandum
-1 sudu kecil soda bikarbonat
-1 sudu kecil yis kering
-25g butter
(gaul semua bahan di atas sampai jadi macam serbuk roti)
-1 biji telur
-4 sudu besar gula
(pukul telur dengan gula sampai kembang)
-150ml susu segar
-secubit garam
(campur semua bahan di atas sehingga sebati)
Adunan dah sedia untuk dimasak
Sapu sedikit minyak / margerin pada kuali non-stick
Tuang satu senduk adunan
Biarkan gelembung2 pada adunan pecah, barulah terbalikkan
Masak hingga warnanya keperangan macam kat gambar atas
(untuk dapatkan saiz yang sekata macam dalam gambar tu,
saya gunakan kuali saiz 5 inci)

SELAMAT MENCUBA